NADI Satok

Satok, 14 Mac 2026 – NADI Satok telah berjaya menganjurkan Program Bazar Raya NADI 2026 dengan penglibatan komuniti, usahawan tempatan serta agensi jemputan.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil pemimpin komuniti iaitu Penghulu Encik Salleh bin Sulong, Ketua Kaum Kampung Masjid, Puan Aluyah binti Salleh dan Ketua Kaum Kampung Bintangor Besar, Encik Haji Hamali bin Haji Bujang yang hadir memberi sokongan kepada program komuniti yang dianjurkan di NADI Satok.

Pihak NADI Satok juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para usahawan tempatan yang membuka booth jualan sepanjang program berlangsung sekali gus memeriahkan suasana bazar dan memberi peluang kepada komuniti untuk mendapatkan pelbagai produk dan juadah menarik. Turut serta memeriahkan program ialah pasukan UNIFI Sarawak serta Encik Haji Mohd Ali yang membuka kaunter zakat bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan zakat.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan bagi semua lapisan masyarakat. Antaranya ialah Pertandingan Mewarna yang mendapat sambutan hangat daripada kanak-kanak, serta kelas usahawan yang memberi pendedahan dan perkongsian ilmu kepada komuniti yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan suasana, pengunjung juga berpeluang menyertai permainan tradisional seperti congkak, puzzle dan lain-lain aktiviti santai. Tidak ketinggalan, permainan interaktif dan digital seperti PS5 turut disediakan bagi menarik minat golongan kanak-kanak dan remaja untuk hadir serta merasai pengalaman aktiviti digital di NADI.

Secara keseluruhannya, Program Bazar Raya NADI 2026 di NADI Satok telah berjaya mengeratkan hubungan komuniti, memupuk semangat kebersamaan serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menghiburkan.

#MeriahBazarRayaNADI